Kerajaan Malaysia Akan Tetap Pulangkan Tahanan ke Negara Asal Meskipun Negatif Covid19

LINTAS NASIONAL – MALAYSIA, Kerajaan kini akan memberi tumpuan kepada usaha menghantar pulang semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di pusat tahanan Imigresen yang telah disahkan tidak dijangkiti Covid-19, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ia susulan penularan wabak itu di kalangan warga asing yang ditahan di tiga pusat tahanan Imigresen, iaitu Depoh Imigresen Bukit Jalil, Depoh Imigresen Semenyih dan Depoh Imigresen KLIA.

“(Warga asing) yang positif kita rawat. Mereka yang negatif (Covid-19) di pusat tahanan seluruh negara perlu dihantar pulang.

“Kita minta Kementerian Luar bincang dengan rakan sejawat dan kedutaaan (negara terlibat) untuk bantu bawa pulang rakyat mereka yang didapati negatif,” katanya ketika sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau juga memberitahu bahawa tindakan menahan dan menyaring pendatang asing itu akan diteruskan bagi memastikan wabak itu dapat dikawal dan tidak terus menular dalam kalangan rakyat.

“Walau apa pun desakan daripada kumpulan (pembela PATI) ini kepada kerajaan, kita tidak akan tunduk kepada kehendak mereka kerana tindakan kita adalah untuk menjaga kepentingan dan kesihatan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang meningkatkan kapasiti hospital sebagai persediaan menghadapi peningkatan kes positif, terutama di kalangan warga asing tersebut.

Buat masa ini, katanya lagi, mereka dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di Selangor.

Bagaimanapun Maeps hanya boleh menempatkan 600 pesakit dan pada masa ini sudah ada 230 warga asing yang dirawat di sana, katanya lagi.

Justeru, beliau berkata dua lagi pusat rawatan, iaitu Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh dan bangunan wad bersalin lama Hospital Kuala Lumpur, akan dikhaskan untuk merawat golongan itu, jika bilangan jangkitan terus meningkat.

“Kesemua pusat rawatan ini dijangka mampu menampung 1,430 pesakit,” katanya lagi.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan 172 lagi kes Covid-19, dengan 164 daripadanya melibatkan warga asing terutama yang ditahan di pusat tahanan Imigresen.

Bagaimanapun, satu kluster baru dikenal pasti di tapak pembinaan di Kuala Lumpur yang setakat ini melibatkan 44 pekerja asing.

Ismail berkata, kluster itu ditemui kerana syarikat pembinaan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) kerajaan yang mengarahkan pekerja asing dalam sektor tersebut menjalani ujian sebelum dibenarkan kembali bekerja.

Keadaan boleh bertambah buruk jika mereka tidak dikesan sebelum cuti umum Hari Raya, katanya lagi.

“Bayangkan kalau (mereka) tidak disaring. Tentulah pada hari raya mereka penuh di KLCC dan wabak boleh merebak bukan saja di kalangan mereka, tetapi warga Malaysia,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan 4,292 daripada 5,236 tapak pembinaan masih tidak dibenarkan menyambung semula operasi.(MK)